Danial tidak mahu dilabel YB muda tapi tidak aktif, asyik sakit

Umum mengetahui menjadi seorang bergelar ‘YB’ sememangnya dihambat waktu dengan jadual dipenuhi program-program yang memerlukan mereka untuk bersama-sama meraikan masyarakat di kawasan diwakilinya.

Namun, bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Shah Alam, Danial Al Rashid Haron, meskipun memiliki jadual kerja yang padat, beliau amat mementingkan soal kesihatan dan pemakanan.

Ahli politik berusia 37 tahun itu berkata, apabila menjadi wakil rakyat, beliau mendapati kapasiti tenaga lebih banyak digunakan berikutan jadual yang padat dan bekerja hingga larut malam.

”Persepsi atau jangkaan masyarakat terhadap YB muda mungkin jauh beza dengan wakil rakyat yang sudah senior.

“Masyarakat memang nak lihat kita (YB muda) sentiasa turun padang untuk mendengar suara mereka.

“Jadi, untuk mengekalkan stamina, saya tidak menolak sekiranya dipelawa rakan-rakan untuk bermain bola sepak atau badminton.

“Saya tidak akan melepaskan peluang jika mempunyai masa bersukan kerana ia juga merupakan kaedah untuk menjaga stamina dan kesihatan.

”Saya pun tak naklah dilabel YB muda, tetapi tidak aktif dan asyik sakit sahaja nanti.

“Jadi, saya cuba untuk menjaga diri dan kesihatan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily.

Beliau ditanya tentang penjagaan kesihatan yang diamalkannya untuk mengekalkan stamina dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN Batu Tiga.

Sesi temu bual itu dijalankan di pejabatnya di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga, di Seksyen 16, Shah Alam.

Menceritakan lebih lanjut tentang gaya hidup sihatnya, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, beliau tiada masalah jika kawan-kawan mempelawa untuk bersukan.

”Kalau seminggu sekali ada orang ajak (bersukan), kena ambil juga (peluang itu) kerana itu sahaja peluang yang saya nampak untuk beriadah.

“Kalau saya tolak (bersukan), maknanya jadual saya akan dipenuh dengan program.

“Jawatan ‘YB’ hanya pada jawatan kerja, waktu lain kita tetap bersahabat macam biasa,” katanya sambil menambah bahawa kenalannya juga ramai yang berada di sekitar Shah Alam.

Dalam wawancara sama, Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu turut menitipkan pesanan kepada rakan-rakan politiknya terutama seangkatan dengan usianya, agar terus kekal aktif menjaga kesihatan dan stamina.

“Pesanan untuk diri saya dan kawan-kawan, soal pemakanan pula kita boleh jaga, cuma bila makan banyak, kena ‘cover’ baliklah.

“Berat badan saya pun naik juga, tapi kena aktif bersukan,” kata Danial lagi sambil ketawa.