Heboh isu enjin ada gula, ini nasihat peguam wajib anda tahu
Heboh isu seorang pemilik Perodua Bezza, Nagakanni Subramaniam apabila kereta yang baharu dibelinya itu rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.
Enjin rosak kononnya sebab ada benda asing seperti gula. Pembeli pula tidak dapat penggantian kereta baharu.
Dia juga terpaksa membayar pinjaman bulanan ‘kereta gulanya’ itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan tersebut tersadai di pusat servis.
Walaupun Perodua kemudiannya ada menawarkan penyelesaian tetapi Nagakanni, 31, mendakwa terdapat beberapa kesalahan fakta dalam kenyataan balas syarikat tersebut.
Ikuti perkongsian peguam Asiah Abd Jalil merungkai permasalahan melibatkan hak dan tanggungjawab sama ada di pihak pembeli kenderaan, Perodua dan bank ini:
Apa yang kita boleh belajar dari isu kereta Perodua rosak selepas 8 jam diserahkan kepada pembeli?
Apa hak dan tanggungjawab pembeli?
Apa hak dan tanggungjawab Perodua?
Apa hak dan tanggungjawab bank?
1) Ascertainment
Jual-beli kereta dikawal selia oleh undang-undang kontrak dan Sale of Goods Act. Baca perjanjian. Jika ada part yang samar-samar, rujuk Akta.
Apabila perjanjian jual-beli ditandatangani oleh Perodua dengan pembeli, kemudiannya kereta dengan nombor casis dan nombor enjin didaftarkan kepada JPJ di bawah nama pembeli, proses ascertainment berlaku.
Ascertainment menyebabkan kereta dengan nombor casis dan nombor enjin yang unik tersebut, kini berpindah hak kepada pembeli secara sepenuhnya.
Ascertainment menyebabkan pembeli dah tak boleh tukar dah kereta yang telah dimuktamadkan.
2) Hire and purchase
Biasanya pembeli akan bayar deposit 10% daripada harga kereta, manakala baki 90% melalui pinjaman bank.
Pembeli akan menandatangani perjanjian sewa-beli dengan pihak bank. Pihak bank akan membayarkan baki harga kereta tersebut kepada Perodua. Kemudian pihak bank akan menyewakannya kepada pembeli.
Setiap bulan pembeli akan buat bayaran ansuran kepada pihak bank. Seolah-olah pembeli sedang menyewa kereta tersebut daripada pihak bank.
Kelak jika pembeli selesai membuat bayaran penuh pinjaman kepada bank, kereta tersebut dianggap telah selesai dibeli. Pihak bank akan melepaskan ikatan dengan kereta tersebut.
3) Merchantable quality
Apabila pembeli membeli kereta baharu, undang-undang menetapkan bahawa kereta tersebut mestilah mempunyai merchantable quality sebagaimana kereta yang baru keluar dari kilang.
Kereta baharu tidak sama dengan kereta second hand. Kereta baharu mestilah tiada defects dan tiada problem.
Pengguna berhak untuk expect bahawa kereta baharu mestilah sama kualiti dengan kereta-kereta baharu yang lain.
4) Warranty dan guarantee
Biasanya di dalam setiap perjanjian jual-beli bagi barang baharu (bukan barang second hand, bukan barang yang dijual pada harga diskaun), akan ada warranty atau guarantee mengenai defective product.
Warranty atau guarantee biasanya mempunyai had masa atau had tertentu. Contohnya, jaminan terhadap kereta dalam tempoh 6 bulan selepas dibeli atau 5,000 km, yang mana lebih dahulu.
Defects boleh timbul semasa design, manufacturing atau marketing. Sama ada defects tersebut disengajakan atau tidak, diketahui atau tidak, penjual mesti menanggung liabiliti dan menggantikan barang yang rosak tersebut.
5) Transfer of risk
Semasa penjual menyerahkan kereta secara fizikal, pembeli perlu membuat pemeriksaan terlebih dahulu untuk memastikan tiada defects.
Sebaik sahaja physical delivery selesai, risiko terhadap kereta tersebut kini berpindah kepada pembeli.
Perodua sebagai penjual telah selesai tanggungjawabnya (kecuali tanggungjawab warranty dan guarantee).
Analisa undang-undang:
Contoh situasi 1:
- Setelah 8 jam mengambil kereta, kereta tersebut telah dicuri oleh penjenayah.
- Kerugian ini perlu ditanggung oleh pembeli, bukan oleh Perodua.
- Kerana risiko telah berpindah kepada pembeli selepas physical delivery.
Contoh situasi 2 :
- Setelah 8 jam mengambil kereta, enjin kereta tersebut tidak dapat dihidupkan. Didapati enjin telah rosak kerana ada gula dalam enjin.
- Kereta tersebut masih dalam warranty atau guarantee. Perodua wajib membaiki kereta tersebut tanpa sebarang kos.
Apa kedudukan sebenar di sisi undang-undang dalam kes Puan Nagakanni?
Gula dalam enjin, jelas ia bukan kesalahan Puan Nagakanni. Ia adalah product defects yang mustahil boleh diketahui oleh Puan Nagakanni semasa kereta diserahkan.
Sekiranya Perodua mendapati kerosakan enjin adalah major, maka kereta tersebut tidak mempunyai merchantable quality.
Oleh itu, Perodua wajib mengganti kereta baharu kepada Puan Nagakanni.
Namun, ada beberapa isu yang perlu diselesaikan. Rujuk tulisan saya di atas berkenaan ‘ascertainment’ dan ‘hire and purchase’.
Setiap kereta mempunyai nombor casis dan nombor enjin yang unik.
Terdapat 3 perjanjian yang wujud dalam kes pembelian kereta Puan Nagakanni:
1) perjanjian di antara pembeli dengan Perodua
2) perjanjian di antara pembeli dengan bank
3) perjanjian di antara pembeli dengan syarikat insurans kereta
Kesemua perjanjian ini melibatkan kereta dengan nombor casis dan nombor enjin yang spesifik tersebut.
Disebabkan itu ia tidak semudah Perodua perlu mengganti kereta baharu, pinjaman bank untuk kereta yang bergula itu ditamatkan, kereta baharu didaftarkan hakmilik kepada Puan Nagakanni dan kereta yang bergula itu dilupuskan.
Sekiranya, Perodua mendapati bahawa kereta yang bergula itu rosak secara major, syarikat insurans akan terlibat untuk membuat penilaian.
Jika syarikat insurans mendapati kerosakan tersebut adalah beyond economic repair, syarikat insurans akan mengisytiharkan kereta tersebut sebagai total loss.
Syarikat insurans akan membayar keseluruhan baki pinjaman kepada pihak bank untuk kereta yang bergula tersebut.
Bagi kereta baharu yang diganti oleh Perodua, Puan Nagakanni perlu mulakan semula semua proses dari awal.
Mohon pinjaman yang baru, tandatangan perjanjian-perjanjian baharu, daftar dengan JPJ, dan lain-lain.
Kesemuanya di bawah nombor casis dan nombor enjin yang baharu.