PM Anwar ziarah Abdul Hadi di IJN
Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Institut Jantung Negara (IJN) petang ini bagi menziarahi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ketibaan Perdana Menteri di IJN selepas menunaikan solat Jumaat itu juga bagi menziarahi rakannya Ziauddin Sardar yang menerima rawatan di sana.
Namun, Perdana Menteri kemudiannya memberitahu tidak sempat untuk bertemu dengan Hadi kerana ahli politik itu sedang menerima rawatan dialisis selepas menjalani beberapa prosedur kesihatan.
“Keadaan Abdul Hadi, saya dapat tahu daripada doktor (bahawa) stabil. Hari ini beliau dialisis (manakala) Ziauddin sedang tunggu untuk ambil keputusan untuk prosedur berikutnya.
“Kita doakan mudah-mudahan mereka sihat syafakallah, pulih dan dapat jalankan tugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi mereka di IJN hari ini.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah beberapa kali dimasukkan ke IJN untuk rawatan.
Walau bagaimanapun, jenis penyakit yang dihidapi Hadi, 76, tidak didedahkan kepada media.
Pada Julai tahun lalu, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Terengganu.
Anak lelakinya, Khalil, berkata kesihatan Ahli Parlimen Marang itu semakin merosot, dan meminta orang ramai mendoakan agar bapanya sembuh.
Keadaan Hadi kemudiannya stabil sebelum dia dipindahkan dari Unit Rawatan Koronari (CCU) ke wad biasa sebelum dibenarkan keluar.