Selepas lebih 80 hari mengganas, Israel mahu usir penduduk Gaza ke Congo

Israel dalam perbincangan dengan Congo dan negara-negara lain bagi pengusiran penduduk Gaza dalam apa yang dipanggil ‘migrasi sukarela’.

Menurut The Times of Israel, pegawai kanan Israel dilaporkan akan mengadakan rundingan sulit selepas lebih 80 hari mengganas dan membunuh lebih 22,000 rakyat Palestin.

“Congo akan bersedia menerima pendatang, dan kami sedang berbincang dengan orang lain,” lapor media Israel tersebut memetik sumber kanan dalam kerajaan haram itu.

Perancangan jahat Israel itu terserlah memandangkan 52.5 peratus rakyat di Congo, menurut Program Makanan Sedunia hidup di bawah garis kemiskinan.

Malah, Republik Demokratik Congo mencatatkan antara negara paling teruk mengalami krisis keselamatan makanan dengan jutaan rakyatnya kebuluran.

Pada 31 Disember lalu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberitahu dalam mesyuarat Parti Likud bahawa dia sedang berusaha untuk memudahkan ‘penghijrahan sukarela’ rakyat Gaza ke negara lain.

“Masalah kami ialah (mencari) negara yang bersedia menyerap penduduk Gaza, dan kami sedang mengusahakannya,” katanya, lapor The Times of Israel.

Walau bagaimanapun, Ketua Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, berkata beliau sangat terganggu dengan rancangan Israel mahu mengusir rakyat Palestin dari Gaza.

Turk menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa melarang pemindahan paksa orang yang dilindungi di dalam atau pengusiran dari wilayah yang diduduki.

Â