TPM ingatkan pembangkang jangan cuba-cuba ‘tebuk atap’

Parti pembangkang diingatkan agar tidak lagi mencuba melakukan sebarang gerakan ‘tebuk atap’ untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya berkata, pembangkang perlu mengambil pengajaran daripada peristiwa pertukaran tiga Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya, peristiwa pertukaran Perdana Menteri itu telah meninggalkan kesan bukan saja kepada negara, tetapi rakyat secara keseluruhan akibat ketidakstabilan politik.

”Saya fikir cukup-cukuplah pihak pembangkang melakukan langkah yang apa nama sekali pun… Jangan buang masa rakyat.

“Jangan buang masa untuk mengalih perhatian rakyat daripada bersama mendapat nikmat hasil projek serta rancangan yang disusun Kerajaan MADANI.

“Dalam tempoh empat tahun ini, kita bersama membina semula negara yang sudah rosak selama satu penggal apabila ada tiga Perdana Menteri mengetuai negara dan tidak ada hasil yang baik untuk rakyat ketika itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat 2024 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Sanusi dipetik berkata, gerakan dikenali sebagai ‘Langkah Chow Kit’ itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Anti Lompat Parti yang digunakan kerajaan Madani untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.

Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendedahkan bahawa muncul komplot ‘Langkah Dubai’ yang didakwa digerakkan oleh pembangkang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Â