Zahid mahu warga KKDW mantapkan lagi kemahiran, pengetahuan

Warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diseru memantapkan lagi kemahiran dan pengetahuan yang ada agar mampu bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan keadaan pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seruan itu antara lain bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, seterusnya meningkatkan inovasi dan kecekapan gerak kerja.

”Warga KKDW mesti memiliki tahap kefahaman dan pengetahuan serta kemahiran dalam segala isu berkaitan dengan kemajuan desa.

”Dalam usaha kita memperkukuhkan operasi kementerian, warga KKDW termasuk saya sendiri perlu memastikan keberkesanan dan kecekapan terhadap apa jua yang ingin kita laksanakan.

”Keberkesanan memberi erti mengoptimumkan semua sumber yang ada bagi mendapatkan hasil yang terbaik dalam mencapai unjuran yang telah ditetapkan,” katanya dalam Amanat Tahun Baharu kementerian itu, di Putrajaya, hari ini.

Amanat beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu turut disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyifatkan, pengurusan pengetahuan adalah sesuatu yang penting untuk menyusun dan menganalisis keberkesanan projek atau program yang akan dilaksanakan.

”Sebagai contoh, bahagian Komuniti Desa perlu arif tentang pembangunan modal insan dalam membina masyarakat desa yang lestari.

”Kemahiran dan pengetahuan yang wujud tidak boleh jumud dan perlu sentiasa memikul tanggungjawab untuk memberi impak bukan sahaja kepada organisasi, malah kepada masyarakat sejajar dengan objektif serta sasaran kementerian kita,” katanya lagi.

BACA JUGA ‘Susah juga fikir logik cerita tukar kerajaan’