‘Berhentilah berkaraoke tengah malam dengan perempuan ajnabi’

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor digesa untuk memberi tumpuan kepada mentadbir negeri diterajuinya berbanding mengambil ‘Langkah Dubai’ untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Saranan itu disuarakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyifatkan negeri pimpinan Sanusi itu mempunyai pelbagai masalah yang perlu diselesaikan.

“Sebelum dia (Sanusi) bercakap tentang Langkah Dubai, tanya dia apa jadi dengan litar lumba di Kedah.

“Saya rasa, daripada dia (Sanusi) komen tentang ini, mungkin Sanusi perlu ubah sikap beliau.

“Berhentilah berkaraoke tengah malam dengan perempuan ‘ajnabi’ dan fokus mentadbir,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Termurah ‘khidmat demi rakyat’ di pekarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menyenaraikan beberapa isu yang dihadapi pemimpin Pas itu antaranya nadir bumi termasuk pasukan bola sepak, Kedah FC.

“Saya rasa, dia ada masalah yang lebih banyak. Dia Menteri Besar, dia bukan Ahli Parlimen. Jadi, fokus kepada tugas masing-masing,” bidas Fahmi.

Kelmarin, Sanusi mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila beliau yakin Kerajaan Perpaduan akan tumbang sebelum berakhir penggal kali ini dan mendakwa mengetahui bila perkara itu akan berlaku.

Namun Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu enggan mendedahkan tentang itu.

Bagaimanapun, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan isu berkenaan.

Zahid menegaskan ia tidak memberi kesan, sebaliknya Kerajaan Perpaduan kekal dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Susulan kenyataan Sanusi itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menempelak beliau dengan meminta pemimpin daripada Pas itu agar menumpukan pembangunan di Kedah dan tidak perlu sibuk merangka perancangan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.