Cakap Sanusi hanya ‘tin kosong’ – Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan ‘cakap-cakap’ Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya terdapat usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sebagai ‘tin kosong’.

Beliau mengingatkan Sanusi bahawa sokongan lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat secara sukarela dan mereka bukan ‘dicuri’.

“Sanusi kata usaha itu (jatuhkan Kerajaan Perpaduan) ikut undang-undang. Kalau Anwar boleh ambil lima PN, tidak ada sebab PN tidak boleh ambil 10 Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan.

“Sanusi lupa, lima MP (Ahli Parlimen) Bersatu yang beralih sokongan itu bukan dicuri. Ia sukarela.

“Bahkan ada beberapa lagi MP Bersatu akan ikut jejak 5 MP itu. Bermakna jumlah MP PN semakin berkurangan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Dalam kenyataan sama, Mohd Puad menyifatkan, Pas pula semakin besar kepala kerana Ahli Parlimen parti Islam itu adalah yang paling ramai dalam PN.

“Sudah tentu kali ini Pas rasa layak menuntut jawatan PM (Perdana Menteri) dan jawatan senior lain.

“Itu punca langkah tebuk atap gagal. Cakap Sanusi hanya ‘tin kosong’,” tempelaknya lagi.

Kelmarin, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yakin Kerajaan Perpaduan akan tumbang sebelum berakhir penggal kali ini.

Dia juga mendakwa mengetahui bila perkara itu akan berlaku namun enggan mendedahkannya.

Bagaimanapun, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan isu berkenaan.

Namun, beliau menegaskan ia tidak memberi kesan sebaliknya, Kerajaan Perpaduan kekal dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Susulan kenyataan Sanusi itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menempelak beliau dengan meminta pemimpin daripada Pas itu agar menumpukan pembangunan di Kedah dan tidak perlu sibuk merangka perancangan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.