Kelantan terima RM10.6 juta baiki jalan runtuh, rosak akibat banjir
Kerajaan Persekutuan hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM10.6 juta kepada Kelantan susulan negeri itu mencatatkan nilai kerosakan tertinggi akibat bencana banjir.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan tersebut diberikan bertujuan untuk pelaksanaan kerja-kerja pembaikan akibat bencana alam yang berlaku pada kali ini.
Kerosakan infrastruktur jalan dan bencana alam lain yang tercetus akibat cuaca hujan pada ketika ini, memerlukan kerja pembaikan segera demi keselamatan rakyat.
“Kementerian dan pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sedang berusaha keras bagi memastikan semua jalan yang rosak dapat diperbaiki sebelum musim perayaan Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Alexander lagi, hasil penilaian kerosakan di seluruh negara, pihaknya bersama JKR menganggarkan lebih RM50 juta diperlukan bagi membaik pulih jalan runtuh dan rosak di beberapa negeri terjejas banjir.
Kelmarin, banjir gelombang ketiga di Kelantan dilaporkan pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, Rantau Panjang ditutup pada jam 2.30 petang.
Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, 26 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS yang dibuka pada 16 Disember lalu itu dibenarkan pulang ke rumah mereka.
Menurutnya, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu semakin menunjukkan penurunan dan mencatatkan bacaan berjaga-jaga.
Â