Selepas CEO KFA ditahan, Sanusi anggap ada pihak dengki

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menganggap terdapat pihak yang iri hati dan dengki selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mula dapat membiayai keperluan semasa pasukan.

Dia yang juga Presiden KFA berkata, sewaktu pasukan itu nazak dengan hutang puluhan juta ringgit tidak ada siapa peduli.

“Gaji pemain dan bayaran kepada badan berkanun terhutang puluhan juta, tak ada siapa peduli.

“Bila kita mula selesaikan sedikit demi sedikit di samping membiayai keperluan semasa pasukan, ada pihak iri hati dan dengki.

“Bila pasukan sudah diswastakan KFA mampu tarik nafas lega sedikit tetapi masih beri komitmen untuk terus bayar hutang kepada pemiutang,” katanya, dipetik BH.

Sehubungan itu, pemimpin Pas itu akan membongkar plot sebenar yang berlaku dalam pelbagai isu termasuk penahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA membabitkan isu rasuah RM6 juta.

Sanusi mendakwa keadaan yang berlaku pada masa ini adalah kezaliman pihak tertentu yang menggunakan agensi kerajaan untuk tujuan politik dan kepuasan peribadi.

Malah, dia menegaskan bahawa individu yang ditahan SPRM terbabit bukan ‘orang kaya’ sebaliknya hidup dalam kesempitan.

Jelasnya, KFA sejak ditubuhkan membiayai pasukan bola sepak dan kegiatannya melalui derma serta sumbangan kerana ia bukan syarikat perniagaan berasaskan keuntungan.

Dalam masa sama, dia juga mengakui KFA memang ada menerima sumbangan tetapi tidak bersubahat melakukan rasuah kerana persatuan itu tidak mempunyai akses kepada projek yang memerlukan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman CEO KFA, Zulkifli Che Haron dan tiga individu termasuk dua perunding berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

BACA JUGA Rasuah RM6 juta: Persatuan Bolasepak Kedah sahkan CEO ditahan