Skandal KFA RM6 juta: Sanusi anggap semua tuduhan fitnah

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menganggap semua tuduhan yang dilemparkan ke atas individu yang disiasat membabitkan isu rasuah dan ke atas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebagai fitnah.

Menteri Besar Kedah itu bahkan menegaskan sedia membongkar perkara tersebut.

Dia yang juga Presiden KFA berkata, persatuan itu tiada akses kepada projek yang dibuat secara tender terbuka selain tidak terlibat dalam projek pembinaan litar lumba.

“Kenapa ada pihak iri hati? Kena tanya mereka itu lah… memang KFA menerima sumbangan tapi tak sampai bersubahat melakukan rasuah.

“KFA tak ada akses kepada projek yang dibuat secara tender terbuka dan KFA tak ada penglibatan dalam projek litar.

“Itu semua fitnah, saya akan bongkar plot ini bila tiba masanya. Tender loji air dibuat secara terbuka dan diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan perlu mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan.

“Dasar itu dibuat pada waktu Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selama 22 bulan. Tak ada campur tangan dan tak ada jalan untuk campur tangan dalam urusan tender terbuka,” dipetik BH.

Namun, Sanusi berkata, ketika tender projek itu dibuka, harga bahan binaan masih rendah, tetapi harga barang melambung tinggi selepas tender selesai diserahkan.

“Tak ada sama sekali syarikat yang menang tender mampu beri sumbangan kepada KFA. Semua syarikat sedang hadapi masalah kenaikan harga bahan binaan untuk siapkan projek.

“Adakah masuk akal hendak sumbang RM6 juta dalam keadaan mereka yang sangat tenat?

“Litar lumba adalah projek yang dibuat Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan tatakelola yang betul, tak ada isu sama sekali.

“Cuma ia tertangguh kerana pemaju ada kes, isu lain antaranya bursa dan lain-lain yang menyebabkan kerja tertangguh.

“Kini sedang diuruskan untuk disiapkan pemaju lain selepas berunding dan memenuhi syarat yang dipersertujui,” kata Sanusi lagi.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman CEO KFA, Zulkifli Che Haron dan tiga individu termasuk dua perunding berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

Â