Sultan Ibrahim tidak terima menghadap hingga 31 Januari

Sultan Johor bertitah baginda tidak akan menerima apa-apa permohonan mengadap bermula hari ini sehingga 31 Januari depan.

Titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pemakluman sedemikian melainkan majlis yang telah ditetapkan serta sesi mingguan bersama Menteri Besar Johor serta kepimpinan kerajaan negeri.

“Bermula sekarang sehingga saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya tidak akan menerima apa-apa permohonan untuk mengadap.

“Dalam tempoh berkenaan, saya ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sebelum menjalankan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar,” titah baginda menerusi Facebook rasmi

Pada Oktober tahun lalu, Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari ini.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara.

Baginda akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari ini.

Ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar merupakan Yang di-Pertuan Agong kelapan yang dipilih pada tahun 1984.