Anwar pilih untuk tidak layan isu 120 SD
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk tidak melayan dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa pembangkang telah berjaya memperoleh sekitar 120 pengisytiharan statutori (SD) untuk menjatuhkan kerajaan.
Dakwaan 120 SD ini sebelum ini dibuat oleh Raja Petra Kamarudin, bloger Malaysia Today yang berada dalam buangan.
“Tak apa. Tak perlu komen. (Biar)..Saya kerja,” kata kepada pemberita ketika ditanya mengenai kenyataan Sanusi yang mendakwa PN sudah mengumpulkan SD yang mencukupi.
“Kalau kes isu besar, saya jawab,” katanya ketika di dalam program Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024, di Sepang, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata sokongan terhadap perdana harus diputuskan menerusi undi percaya di Dewan Rakyat dan bukannya SD.
“Kesimpulannya semua pihak perlu merujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Sama ada Anwar sudah hilang sokongan majoriti sebagai perdana menteri hendaklah diputuskan di Parlimen iaitu di Dewan Rakyat,” katanya.
Menurut Perkara 43(4) perdana menteri perlu meletakkan jawatan sekiranya hilang majoriti.
SD digunakan oleh perdana menteri kelapan sebelum ini iaitu Tan Sri Mahiaddin Yassin, tanpa menguji majoriti beliau di Dewan Rakyat meskipun disuruh berbuat demikian oleh Agong.
Anwar pula mengusulkan undi percaya di Dewan Rakyat selepas membentuk kerajaan.