Kementerian, jabatan perlu kemuka laporan kemajuan bulanan
Semua kementerian dan jabatan perlu mengemukakan laporan kemajuan projek setiap bulan, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini adalah langkah tatakelola yang diperkenalkan oleh beliau pagi ini.
“Selalunya bila ketua-ketua jabatan, ketua setiausaha kementerian (KSU) jumpa dalam perbincangan saya dalam mesyuarat jawatankuasa Kabinet semua mencadangkan minta peruntukan, tambah projek.
“Ya, memang dibolehkan tetapi ada kaeadah baru kita nak perkenalkan iaitu mesti ada laporan bulanan… (mengenai) apa yang dilakukan, apakah sumbangan (penjawat awam) untuk melaksanakan projek itu,” katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri.
Laporan kemajuan bulanan tersebut perlu dihantar melalui ketua pengarah, ketua setiausaha dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali sebelum dimaklumkan kepada beliau.
“Setiap bulan ada kemajuan yang jelas. Sumbangan penjawat awam menjadikan negara ini negara Madani atau ekonomi Madani dan dasar yang dicerakinkan dalam peralihan tenaga, transformasi digital ataupun pelan perindustrian dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Jadi saya harap hal ini dapat dilakukan dengan usaha perubahan semua. Anda tahu (penjawat awam) dalam sistem politik, Jemaah Menteri kita cuba melakukan kaedah baru meneruskan usaha yang baik dulu, tapi pendekatan kita harus berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan meneruskan kaedah rundingan terus untuk projek. Ini menurut beliau akan mengelakkan kecelaruan dan salah guna kuasa.
“Hal-hal ini ditekankan. Kemudian, di setiap kementerian ada pendekatan harus lebih berani sekarang. Walaupun ada desas-desus pelbagai hal tapi saya yakin kerajaan kita stabil.
“Oleh kerana stabil kita nak gunakan sepenuhnya untuk melaksanakan program bagi mengangkat martabat negara kita,” katanya.