Langkah Dubai: Shamsul Iskandar buat laporan polis
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah membuat laporan polis berkenaan Langkah Dubai – gerakan yang berhasrat menumbangkan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan dibuat di bawah seksyen 124B dan 124C Kanun Keseksaan yang menjenayahkan sebarang perbuatan yang boleh mengancam prinsip demokrasi negara.
“Saya membuat satu laporan polis bagi menyiasat gerakan yang didakwa sedang diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh beberapa Ahli Parlimen Pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri.
“Pendedahan dibuat oleh seorang penulis blog dikenali sebagai Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa terdapat gerakan bersungguh-sungguh beberapa Ahli Parlimen Pembangkang untuk menggulingkan kerajaan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
Beliau menegaskan sebarang percubaan sebegitu rupa akan membawa kepada ketidakstabilan politik dan ancaman kepada keselamatan negara.
“Saya ingin menyatakan kepada mereka di luar sana, Malaysia ini ada undang-undang, ada peraturan, ada perlembagaan dan kita sudah melalui episod ini banyak kali dan kita sudah beri penamatnya dengan adanya Akta Antilompat Parti,” katanya.
Laporan berkenaan perkara ini akan turut dibuat di 12 negeri lain.
Â