Sufi Kamari, wartawan Harakah Daily dibebaskan malam tadi

Tiga lelaki yang ditahan polis – wartawan Harakah Daily dan seorang pemimpin Pas Selangor, Muhamad Sufi Kamari -selepas disyaki menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di Shah Alam pada Jumaat, dibebaskan malam tadi.

Ketua Polis Shah Alam Iqbal Ibrahim berkata siasatan berjaya selesai hari ini dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya negeri hari ini.

Polis memohon untuk melanjutkan tahanan reman untuk melengkapkan siasatan tetapi ditolak.

“Bagaimanapun, siasatan sudah selesai walaupun agak sedikit tempoh reman diberi itu. Dapat siapkan (siasatan) dalam masa yang terbatas ini,” katanya, lapor FMT.

Pada Jumaat lalu, tiga suspek berusia 31 hingga 35 tahun itu direman dua hari oleh Mahkamah Majistret untuk disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tular video dan laporan di platform media sosial X bahawa seorang lelaki dipercayai wartawan ditangkap ketika cuba curi masuk ke pekarangan kediaman Amirudin di Shah Alam.

Dalam laporan polis dibuat, pembantu Amirudin, beliau dimaklumkan seorang lelaki ditangkap cuba memasuki kediaman itu dengan bersembunyi di tempat duduk belakang kereta.

Polis berkata, siasatan mendapati mereka bertugas sebagai pengamal media tempatan dan masuk ke kediaman itu dengan alasan untuk menghadiri mesyuarat tetapi tidak mempunyai jemputan rasmi.