131 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak sebulan

Secara purata setiap bulan direkodkan sebanyak 131 kes jenayah seksual terhadap golongan kanak-kanak di negara ini sepanjang tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada tahun 2023 sahaja, jumlah mangsa adalah seramai 1,570.

Menurutnya, jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual dilaporkan seramai 6,990 orang dari tahun 2017 hingga 2023.

“Kerajaan juga tahu angka ini kemungkinan besar tidak memberikan situasi jenayah secara keseluruhannya akibat isu kekurangan pelaporan kes,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau memaklumkan mesyuarat dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang diadakan hari ini bagi membincangkan langkah-langkah melindungi kanak-kanak daripada ancaman jenayah seksual.

Semalam, Azalina berkata, kerajaan sedang menjalankan kajian bagi memperluas skop perlindungan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Langkah itu, jelasnya, bagi menangani isu berkaitan eksploitasi seksual dalam talian terhadap golongan tersebut selain perlindungan lebih baik kepada mangsa tanpa mengira lokasi geografi pelaku.

Ujarnya, seksyen itu memperuntukkan mana-mana warganegara yang melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak di luar negara boleh dianggap sebagai melakukan perbuatan tersebut di Malaysia.

Tambahnya, tindakan boleh diambil terhadap rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan sedemikian di luar negara.

“Jenayah eksploitasi seksual dalam talian terhadap kanak-kanak merupakan satu isu yang merentasi sempadan,” kata Azalina lagi.