Jangan biar Papagomo gugat kestabilan negara, kata Lokman Adam
Selagi blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo tidak ditahan di bawah SOSMA, kerajaan yang stabil pun boleh tumbang akibat rekaan ceritanya yang memperdaya orang ramai.
Ahli Mesyuarat Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, individu yang membuat tuduhan palsu seperti Papagomo sudah lama dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau berkata, individu seperti Papagomo tidak harus dibiarkan sehingga menggugat kestabilan negara.
“Setakat dakwaan di bawah Akta Hasutan ini, nak tunggu selesai bicara manusia yang fitnah melampau hingga menggugat keselamatan negara, mahu cecah 4 hingga 5 tahun. Zaman Mahathir dulu, manusia macam ini dah lama kena ISA.
“Selagi manusia macam ni tak kena Sosma, silap-silap kerajaan yang stabil boleh benar-benar tumbang akibat ramai sangat lebih percaya cerita rekaan tentera siber upahan ni.
“Tak salah bagi kebebasan bersuara, tapi membiarkan kebebasan memfitnah kerana mahu dilihat melindungi hak bersuara bakal mengundang malapetaka dan umpama menggali lubang kubur sendiri.
“Sungguhpun PM berhak memaafkan dan tidak mengambil tindakan ke atas manusia-manusia yang memfitnah beliau, janganlah pula hak rakyat untuk terus kekal menikmati kestabilan politik dan ekonomi dinafikan sehingga kita akhirnya kembali kezaman kegelapan Perikatan Nasional,” katanya di Facebook.
Pada semalam, Papagomo mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan menghasut di Facebook dengan mendakwa kerajaan sebagai pro-Israel.
Mengikut pertuduhan, bekas Exco Pemuda Umno didakwa menyebut kata-kata menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi’, jam 1 tengah hari, 8 November lalu, di mana kata-kata berkenaan dilihat oleh seorang lelaki dikenali Hisham Sharudin, 42, di sebuah kondominium di Bukit Bintang.
Kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun tidak menetapkan sebarang syarat tambahan.
BACA JUGA Ada pegawai ‘bakal PM’ sudah tempah baju Melayu hitam