Jangan keluar kenyataan bercanggah dengan ajaran Islam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan cadangan supaya dibenarkan beroperasi rumah pelacuran untuk warga asing adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, syor pelakon Rosyam Nor itu juga terang-terang bercanggah dengan prinsip ajaran Islam dan Maqasid al-Syariah.

Menurutnya, cadangan itu tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak segenap lapisan masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa kaedah fekah sewajarnya dijadikan panduan dalam mencari penyelesaian terhadap kes rogol dan kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain.

Cadangan menerusi podcast laman sosial itu telah mengundang polemik dan kontroversi dalam kalangan masyarakat memandangkan pelacuran adalah aktiviti yang tidak dibenarkan mengikut undang-undang di negara ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan polemik atau isu yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Rosyam mengundang kemarahan masyarakat Islam apabila berpendapat pusat pelacuran perlu ada di negara ini bagi membendung jenayah rogol membabitkan warga asing.

Menerusi podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel, pelakon berusia 56 tahun itu menyifatkan ia perlu ada untuk ‘kemudahan’ warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri masing-masing di negara mereka.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) juga terdapat beberapa peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan pelacuran.

Antaranya seperti Subseksyen 21- pelacuran; Seksyen 22 – muncikari (seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi hukum syarak) dan Seksyen 23 – persetubuhan luar nikah.

“Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 juga ada memperuntukkan kesalahan kepada mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 35 Akta 559,” katanya.

Tambahnya lagi, pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud.