‘Langkah Dubai’: Chegubard, Papagomo antara yang dipanggil bantu siasatan

Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin dan Papagomo adalah antara individu yang mungkin dipanggil polis untuk membantu siasatan berkaitan ‘Langkah Dubai’.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata polis menerima 43 laporan polis di seluruh negara berhubung klip video mengenai “aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka berdasarkan laporan itu, dan suspek utama adalah aktivis politik Raja Petra Kamarudin.

“Suspek ialah Raja Petra yang berada di luar negara. Dia bercakap mengenai kejatuhan kerajaan selama lebih 10 hari.

“Mungkin kita tidak dapat Raja Petra kerana dia berada di Manchester tetapi kita mungkin memanggil Papagomo (Wan Azri), Chegubard, dan (blogger) Salim Iskandar.

“Ini kerana dia bercakap dalam TikTok live. Ini kita nak tahu,” katanya pada sidang media hari ini.

Razarudin berkata siasatan dibuka di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan,” katanya.

Jelasnya, laporan polis itu berdasarkan penularan rakaman video tiga hingga empat orang berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Semalam polis menerima lapan laporan daripada wakil parti politik berhubung gerakan Langkah Dubai yang dikatakan bertujuan menjatuhkan kerajaan.

Turut membuat laporan ialah Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Di Lembah Klang, antara laporan polis itu dibuat di IPD Putrajaya, Cheras, dan Dang Wangi.