PKINK didakwa gagal tunjuk waran mahkamah untuk robohkan rumah?
Susulan perobohan rumah penduduk Jalan Atas Paloh, Kota Bharu, timbul kontroversi mendakwa Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) gagal menunjukkan surat waran atau kebenaran mahkamah untuk perobohan tersebut.
Perkara itu didedahkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuz dalam satu kenyataan.
Mohamad Ezzat menggesa pemimpin Pas Kelantan untuk memberi keadilan terhadap rakyat.
Penduduk turut tidak berpuas hati dengan pampasan RM1,500 yang diberikan oleh PKINK, menganggapnya tidak relevan dan tidak mencukupi untuk menanggung kerugian besar yang mereka hadapi.
Setakat ini, tiada ahli parlimen Kota Bharu atau wakil kerajaan yang tampil memberi penjelasan selepas isu ditularkan.
Pada 7 Januari 2023, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melaksanakan fasa keempat perobohan rumah setinggan di Perkampungan Rumah Setinggan, Seksyen 5, Jalan Atas Paloh.
Proses tersebut melibatkan Syarikat Sireh Wangi Enterprise, yang dilantik oleh PKINK. Menurut kronologi, fasa 1-3 perobohan telah dilaksanakan pada 19 hingga 23 Jun 2022.
Ada empat unit rumah setinggan yang masih belum dirobohkan, dan PKINK menugaskan Syarikat Guaman Adli Aznam & Akram untuk menguruskan proses ini. Keseluruhan, 53
unit rumah setinggan telah dirobohkan.
“Yang mengejutkan, penempatan rumah setinggan ini sebelumnya dibenarkan oleh Menteri Besar terdahulu, meninggalkan tanda tanya mengenai perubahan pendekatan dan keputusan oleh PKINK.
“Keputusan yang lebih kontroversial adalah keterlibatan ahli parlimen Kota Bharu dan wakil kerajaan yang tidak pernah muncul sejak isu ini menjadi viral.
“Ini mencetuskan tanda tanya mengenai tanggungjawab pihak berkuasa terhadap kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam konteks pembangunan projek Pengindahan Sungai Kelantan yang menjadi tujuan utama perobohan rumah setinggan ini,” kata Mohamad Ezzat
Difahamkan, pada 20 September 2020, penduduk telah dijanjikan rumah di Jalan Pantai Cahaya Bulan sebagai rumah sementara sambil menunggu pembinaan rumah
Raudhah selesai sepenuhnya.
Namun, kenyataan palsu dan projek terbengkalai tersebut menimbulkan rasa penipuan dalam kalangan penduduk, yang merasakan diri mereka dianiaya dan tertipu oleh janji-janji yang tidak ditepati.
“Ini menunjukkan kemunafikan pemimpin Pas Kelantan dalam memberi keadilan sewajarnya terhadap rakyat,” katanya lagi.
Untuk rekod, tanah seluas 1.79 hektar itu adalah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan perobohan rumah penduduk di kawasan terbabit dibuat berdasarkan keputusan mahkamah pada 26 April 2022.
BACA JUGA Ada pegawai ‘bakal PM’ sudah tempah baju Melayu hitam
Â