Salurkan derma RM750 juta kepada asnaf

Perdana Menteri berkata, jika ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dipercayai merujuk dakwaan pihak tertentu yang mengatakan ada pihak cuba menggunakan politik wang untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet di Istana Negara.

Menerusi pertemuan itu, Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan beliau agar meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri tanpa menghiraukan sebarang percaturan politik.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menghadap Seri Paduka bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Kabinet esok di samping mengulas beberapa perkembangan semasa.

“Baginda juga bertitah supaya saya selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Madani untuk meneruskan kerja mengurus negara.

“Baginda juga bertitah bahawa pihak istana tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tirai tahun 2023 lalu dilabuhkan dengan percaturan politik yang juga dinamakan sebagai Langkah Dubai.

Cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang juga digelar rancangan ‘tebuk atap’ itu dikatakan digerakkan di bandar terbesar Emiriah Arab Bersatu, Dubai.

Kononnya, Langkah Dubai itu sepatutnya dicapai pada 1 Januari lalu tetapi dikatakan gagal apabila ditolak oleh tokoh tertentu.