‘Cytro’ PN jangan fitnah, PM memang menghadap Agong -Fahmi

Sejak semalam tentera siber upahan Perikatan Nasional (PN) cuba mempertikai kesahihan gambar yang dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka cuba menimbulkan persepsi mendakwa Perdana Menteri sebenarnya tidak pernah menghadap Yang di-Pertuan Agong, dan mendakwa baginda Al Sultan tidak berada di Malaysia.

Pertikaian itu ditimbulkan berikutan Anwar memuat naik foto dari arkib yang dianggap bukan gambar terkini.

Berikutan itu, Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil menyampaikan peringatan tegas kepada tentera-tentera siber pembangkang supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang sebenarnya merupakan satu kesalahan.

Beliau turut mengesahkan bahawa baginda Tuanku Agong sememangnya berada di Malaysia.

“Menerusi pemantauan apa yang berlaku dalam media sosial, saya sekali lagi ingin sampaikan peringatan (adalah) satu kesalahan jika kita sebar maklumat palsu, tuduhan contohnya Perdana Menteri tidak mengadakan pertemuan atau diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Ada beberapa cytro dan pempengaruh dalam media sosual buat tuduhan liar seperti itu. Itu adalah kesalahan sebenarnya kerana dia menyebar fitnah kononnya tuanku Yang di-Pertuan Agong tidak berada di sini.

“Saya, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming), Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan Menteri Perpaduan (Datuk Aaron Ago Anak Dagang) bersama Tuanku dalam majlis pengurniaan pingat pagi semalam.

“Tuanku di Malaysia. Tuduhan liar yang dibuat oleh beberapa pempengaruh ini, bagi saya sudah-sudahlah. Ada dalam kalangan mereka dalam siasatan dan didakwa di mahkamah. I think they have enough on their plates. So stop it,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Pada semalam, Al-Sultan bertitah bahawa Istana Negara tidak akan terlibat dalam sebarang percaturan politik.

Kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Seri Paduka juga menitahkan Anwar dan Kerajaan MADANI untuk meneruskan kerja mengurus negara.

Â