DAP kutuk serangan ganas terhadap Ngeh

DAP mengutuk serangan ganas ke atas rumah Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham yang mencetuskan kebakaran dan memusnahkan salah sebuah keretanya.

“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas ini yang mengancam keselamatan nyawa keluarga beliau dan menegaskan bahawa apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat kita,” kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan.

“DAP juga menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri dan PDRM supaya mengambil perhatian serius dalam kejadian ini dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga.

“Saya mewakili seluruh pimpinan DAP berasa simpati dan bersolidariti dengan keluarga beliau dalam kejadian keganasan tersebut.

Dalam kejadian yang berlaku pada waktu awal pagi, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyerang kediaman Ngeh dengan “Molotov cocktail” yang mencetuskan kebakaran.

Sebanyak tiga kenderaan Ngeh turut terbakar dalam kejadian tersebut.

Kereta Mercedes E300 terbakar 80 peratus. Honda CRV dan Toyota Hilux separa terbakar.

Bumbung laman rumah turut terbakar.

Pihak bomba telah berjaya memadamkan kebakaran tersebut.

Laporan polis telah dibuat oleh Ngeh di balai polis Ayer Tawar dan DAP berharap pihak polis akan bertindak tegas dan cepat untuk menahan pihak yang melakukan jenayah ini.

Menurut laporan Sin Chew Jit Poh, kejadian berlaku pada pukul 2.50 pagi.

Menurut ketua polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, perbuatan pembakaran tersebut sedang disiasat dari pelbagai sudut, lapor Malaysiakini.

Â