‘Jangan buat sebarang andaian, kesimpulan’ – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta orang ramai tidak membuat sebarang andaian atau apa-apa kesimpulan berhubung kebakaran tiga kereta milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham selepas diserang dengan molotov cocktail awal pagi tadi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek serta punca kejadian.

Jelasnya, siasatan dijalankan pasukan forensik polis dan bomba juga menemui ‘molotov koktail’ dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Dalam sidang media khas di kementeriannya di Putrajaya hari ini, beliau berkata, insiden tersebut juga telah mendapat perhatian mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan secara konsensusnya mengambil pendirian mengutuk kejadian itu.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan tindakan melulu tanpa mempertimbangkan lunas-lunas undang- undang kerana ia adalah satu kesalahan serius yang boleh membawa kepada hukuman berat,” tegasnya.

Gempar awal pagi tadi kediaman Ahli Parlimen DAP Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung diserang menggunakan bahan letupan, ‘molotov cocktail’.

Kebakaran kemudiannya mengakibatkan tiga kenderaan milik wakil rakyat itu musnah.

Saifuddin berkata, polis sudah memulakan siasatan dan pada masa sama mengulangi agar tiada pihak yang mengambil tindakan melampaui undang-undang.

Ujarnya, masyarakat boleh meletakkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan profesional pihak polis dalam menangani kejadian ini.