Ada peluangkah Najib untuk dibebaskan?
Menurut laporan yang belum dapat dipastikan kesahihannya, nasib Najib Razak sama ada kekal berada di penjara atau dibebaskan akan diketahui sebelum hujung bulan ini.
Semalam, Channel News Asia atau CNA melaporan, Lembaga Pengampunan akan mengadakan mesyuaratnya pada minggu ketiga bulan Januari ini.
Kata laporan itu lagi, permohonan pengampunan Najib akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut dan bekas Perdana Menteri itu mungkin akan diberi pengampunan, seterusnya dibebaskan dari penjara.
Bagaimanapun, peguam Najib, Shafee Abdullah menolak laporan CNA itu atas sandaran mereka tidak pernah dimaklumkan mengenainya.
“Kami sebagai peguam Najib tidak pernah dimaklumkan berkenaan tarikh mesyuarat Lembaga Pengampunan atau (jika ada) berkaitan permohonan pengampunan anak guam kami.
“Maka kami jadi tergamam bagaimana CNA telah membuat spekulasi dengan berita tidak berasas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, dengan anggota lainnya ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara serta tiga lagi yang dilantik Agong.
Nasib Najib
Sebagaimana diketahui umum, Najib sebelum ini telah mengemukakan permohonan pengampunan berkaitan sabitan bersalah yang beliau kini sedang jalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Berikutan laporan CNA itu, meskipun isu menjatuhkan kerajaan masih diperbualkan, tetapi sejak semalam lebih ramai yang berminat untuk berspekulasi mengenai nasib Najib.
Ada peluangkah Najib untuk dibebaskan?
Sebahagian besar merasakan anak sulung Tun Razak itu mempunyai peluang cerah untuk dibebaskan, manakala segelintir yang lain masih menanggapi peluangnya adalah 50-50.
Ada pula yang mengakui mereka turut bermimpi berjumpa Najib dalam keadaan ceria dan tersenyum pada malam sebelum berita CNA dilaporkan media tempatan.
Barangkali secara kebetulan, serentak dengan penularan berita mengenai laporan CNA itu, semalam juga Agong telah berkenan merasmikan Menara Merdeka 118 yang pembinaannya diilhamkan oleh Najib ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
Menara canggih milik PNB itu mempunyai 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter dan ia adalah bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai (828 meter).
Sebelum ini, Shanghai Tower dengan ketingggian 632 meter adalah menara kedua tertinggi di dunia.
Selain itu, Menara TRX, satu lagi ilham daripada Najib juga telah dibuka kepada orang ramai dan kini menjadi satu lagi pusat membeli belah bertaraf dunia yang sedang menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara.
Dalam hal ini, saya sendiri banyak ditanya mengenai kedudukan Najib – jika benar – Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat sebelum hujung bulan ini.
Sebenarnya, sukar meramalkan sama ada Najib akan dibebaskan atau kekal berada di penjara, cuma gerak hati saya kuat mengatakan, jika beliau bebas, beliaulah yang akan menjadi Perdana Menteri ke-11 selepas ini.
Yang lain-lain yang masih memburu dan berangan-angan untuk kerusi itu, kalau Najib ada di luar, boleh terus bermimpi sajalah.