Dah tiba masa Kerajaan MADANI beri nafas baharu kepada GLIC, GLC

Oleh FAIZ FADZIL

Saranan terbaru PM Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan yang lebih luas dalam agenda pembangunan negara amat disokong.

Sudah tiba masanya untuk GLIC/GLC diberi nafas baharu di bawah Kerajaan Madani.

Sebagai entiti yang menguruskan aset bernilai hampir RM2 trillion, GLIC harus merancakkan usaha pengagihan kekayaan negara (distribution of national wealth) dengan lebih baik dan berkesan terutama kepada rakyat golongan B40 dan M40, serta kesemua negeri di Malaysia.

GLIC juga harus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya peniaga yang masih sukar mendapat akses kepada pembiayaan.

GLC perlu memainkan peranan lebih berkesan untuk menjadi peneraju penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pelaburan modal bernilai tinggi, di samping menjadi entiti peneraju membimbing industri tempatan selaras dengan dasar Kerajaan MADANI seperti NIMP 2030 dan NETR.

Berjayanya negara China hari ini dalam pelbagai bidang termasuk teknologi adalah kerana keberkesanan syarikat milik kerajaan dalam memacu pembangunan industri tempatan.

Kenyataan PM bahawa GLIC/GLC tidak boleh hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata sangat tepat.

Gaji yang ditawarkan harus lebih kompetitif dan harus mempunyai sistem gaji yang baharu yang mengambil kira 3 aspek iaitu produktiviti, inflasi dan perbezaan pendapatan dalam organisasi.

Kedudukan tidak adil di mana pihak pengurusan teratas bergaji berpuluhan atau ratusan ribu, namun pekerja bawahan bergaji kurang daripada kos sara hidup, terutamanya di bandar perlu diubah.

Perubahan yang dicadangkan ini selaras dengan konsep rahmat untuk semua yang diperjuangkan AMANAH.

Menjadi harapan rakyat untuk melihat satu reformasi struktur GLIC/GLC dapat dijayakan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya entiti-entiti ini bergerak selari dengan agenda pembangunan negara bagi mengukuhkan ekonomi negara.

Keputusan PM bahawa Kementerian Kewangan dan Pantau MADANI dipertanggungjawabkan untuk menilai kembali dan menyelaras fungsi-fungsi GLIC/GLC adalah idea yang sangat baik dan harus disokong.

Â