‘Duit punya banyak tak pakai CCTV ke? – Ratu Naga
Ratu Naga bertanyakan sama ada kediaman Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham tiada kamera litar tertutup (CCTV) ekoran insiden kebakaran tiga kereta milik pemimpin DAP Perak itu.
“Duit punya banyak tak pakai CCTV ke?
“Saya tak pasti rumah dia ada pengawal keselamatan atau tidak. Kalau ada, pengawal tidur ke?” soalnya secara sinis menerusi TikTok.
Dalam masa sama, penyedia kandungan TikTok pro Perikatan Nasional (PN) itu turut mengimbas kembali jumlah aset yang dimiliki Ngeh berjumlah lebih RM75 juta pada 2018.
“Pertama, Ngeh Koo Ham adalah ahli Parlimen paling kaya dalam DAP.
“Kedua, kawasan kediaman Ngeh adalah kawasan elit yang ada kawasan keselamatan, sukar untuk keluar, sukar untuk masuk.
“Adalah sangat tidak logik jika orang sewenang-wenangnya campak bom dan ‘blah’ (pergi). Tak logik,” tegas Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah.
Sehubungan itu, dia menegaskan bahawa insiden khianat menggunakan bom petrol atau ‘molotov cocktail’ di kediaman Ngeh pada pukul 3.05 pagi semalam itu tidak memberi manfaat kepada PN.
“Insiden ini tidak memberi manfaat pun kepada PN.
“Siapa yang akan mendapat manfaat daripada insiden ini? Cuba fikirkan.
“Anda rasa pelik ke tidak, Ngeh memaafkan pelaku yang mencetuskan kebakaran di rumahnya.
“Di mana logiknya? Saya mahu anda buka minda sedikit. Siapa yang akan mendapat manfaat daripada insiden ini?” soal Ratu Naga lagi.