Hina ‘jaga’ cerminan pemikiran masih mundur

Oleh NORMAN RADZUAN

Acapkali kita mendengar ‘jaga’ atau pengawal keselamatan dipukul hingga cedera parah malah ada melibatkan kematian. Kes pengawal keselamatan kena pukul ini tidak pernah terhenti.

Pagi ini saya ingin bercerita mengenai dua kejadian yg berlaku di depan mata dan dalam pengetahuan saya. Bagi saya bukan salah mereka tetapi salah pemikiran kita yang memandang hina pekerjaan pengawal keselamtan.

Sejak dulu pengawal keselamatan sering diherdik hanya kerana ingin jalankan amanah diberikan. Ia semakin menjadi-jadi apabila pengawal keselamatan dari bangsa asing.

Kes pertama, seorang rakan datang ke rumah saya untuk menghantar barang. Setibanya di pintu pengawal, dia bermasalah.

Lalu menghubungi saya seperti diminta pengawal keselamatan. Dengarlah suaranya memaki ketika saya sedang berbual dengan pengawal untuk izinkan dia masuk, “puxx, bodoh Nepal ini” dan macam-macam lagi.

Makian itu hanya disebabkan dia perlu daftar dan tunjukkan kad pengenalan untuk direkod. Lalu saya beritahu rakan itu tak mengapalah ikutkan sahaja permintaan pengawal tersebut.

Pot pet pot pet dia di dalam rumah saya. Saya tersenyum sahaja dan tidak mahu menyokong perlakuannya sebab saya tidak bersetuju dengan tindakannya.

Dalam hati saya, sombongnya kamu ini. Sedangkan anak perempuan saya sewaktu 3 minggu di sini turut diminta IC ketika pulang dengan Grab. Dia tidak komplen apa-apa, hanya katanya “I mahu pulang rumah sendiri kena minta IC (sambil ketawa)”.

Anak tuan rumah pun patuh dengan undang-undang pengurusan, kenapalah kamu sombong sangat tidak mahu patuh. Semua salah pengawal?

Kes kedua, ketika saya ke Mall DPulze Cyberjaya. Kejadian benar-benar berlaku di depan mata saya.

Seorang pengawal keselamatan meronda, tiba-tiba anak kecil berusia 3 tahun berlari dan terlanggar pengawal ini lalu jatuh.

Anak kecil ini dan menangis. Ibu ini memarahi pengawal keselamatan lalu dengan makian, saya tegur wanita tersebut.

“Bukan salah dia tapi anak Puan ini yang langgar pengawal ini. Lain kali jangan biarkan anak kecil berlari dalam mall… bla bla bla.”

Terus perempuan ini diam dengan muka tak puas hati sebab saya berpihak kepada pengawal keselamtan berbangsa Nepal ini.

Kejadian-kejadian ini hanya sebahagian kecil yang berlaku dan terus terang saya katakan saban hari ada sahaja pengawal keselamatan dimaki hamun di seluruh negara. Rata-rata 90 peratus bukan salah pengawal.

Salahnya kerana orang kita pandang hina pekerjaan mereka. Padahal, majikan atau pengurusan kediaman telah menetapkan undang-undang begitu untuk mereka patuhi. Ia terjadi tanpa kita sedari kerana ada perasaan ego dalam diri kita.

“Sudahlah pengawal saja, pendatang pula tu”, itu yang ada dalam pemikiran sebahagian orang kita.

Jangan pandang hina. Kalau tanya saya, saya lebih suka pengawal Nepal ini sebab disiplin mereka sangat baik.

Malah, pengawal di rumah saya setiap jam sentiasa buat rondaan. Mereka sangat hormat penghuni di sini dan suka membantu jika saya perlukan pertolongan.

Paling saya suka mereka tak cheating (tidur) dan sentiasa kemas berpakaian walaupun ketika saya pulang jam 3 pagi.

Tidak seperti pengawal tempatan dahulu, jam 12 malam pakai singlet saja di pondok pengawal.

Rakyat Malaysia sebuah negara maju patut memiliki pemikiran yang maju, proaktif, matang dan kritis. Lupakan hasrat jadi negara maju jika pemikiran masih mundur.