Khianat api di rumah Ngeh Koo Ham: 7 individu beri keterangan

Tujuh individu sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes khianat yang menyebabkan kebakaran kereta dan sebahagian rumah Ahli Parlimen Beruas di Ayer Tawar, awal pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, setakat ini pihaknya masih memburu suspek yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.

“Tiada tangkapan lagi dan setakat ini polis sudah ambil percakapan daripada tujuh individu bagi membantu siasatan,” katanya kepada media hari ini.

Dalam masa sama, beliau memberitahu polis turut menunggu laporan 11 sampel yang diambil unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi kejadian, bagi membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Semalam, polis mengesahkan terdapat perbuatan khianat apabila menemui ‘molotov coctail’ di lokasi kejadian kebakaran di garaj kediaman Datuk Ngeh Koo Ham.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing-masing mengalami lima peratus kebakaran.

Siling dan bumbung garaj kediaman di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar itu juga terbakar.