MCMC akan pastikan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih tak kenakan caj tambahan 5G

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memastikan setiap penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih di negara ini, tidak mengenakan caj tambahan bagi akses kepada rangkaian 5G.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, perkara berkenaan adalah selari dengan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan akses teknologi telekomunikasi canggih yang adil dan saksama buat seluruh rakyat Malaysia.

“MCMC menyokong penuh komitmen kerajaan Madani untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih mematuhi komitmen yang sudah dinyatakan.

“Setakat 31 Disember lalu, perkhidmatan rangkaian 5G berjaya mencapai 80.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk,” kata Suruhanjaya itu, hari ini.

Sekiranya terdapat aduan berhubung caj akses 5G, pengguna boleh menyalurkannya menerusi Portal Pengguna MCMC di https://aduan.mcmc.gov.my atau hubungi talian 1-800-188-030.

Pada 9 Januari lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, tiada bayaran tambahan akan dikenakan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna untuk mendapatkan akses rangkaian 5G.

Fahmi memaklumkan, keputusan untuk tidak mengenakan bayaran bagi mendapat akses 5G itu dimaklumkan oleh semua ketua pegawai eksekutif syarikat telekomunikasi kepada beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata pengguna mempunyai pelbagai pilihan penawaran pelan dan perkhidmatan tambahan berdasarkan kesesuaian penggunaan individu.

“Pengguna bagaimanapun perlu memastian peranti yang digunakan menyokong rangkaian 5G,” ujar Fahmi lagi.

Pengumuman Fahmi bagaimanapun menerima kritikan kerana umum masih berdepan bayaran tambahan.

Â