‘Pedas makanan dekat sini’ – Hamzah

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkongsikan gambar di sebuah premis makanan dengan kapsyen yang dilihat ‘mengundang’.

“Pedas makanan dekat sini,” kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu sambil meletakkan tanda lokasi di Kuala Lumpur.

Turut bersama Ahli Parlimen Larut berkenaan ialah empat individu lain.

Susulan hantaran di Facebook rasmi Hamzah itu, penyokong Kerajaan MADANI dan penyokong PN dilihat saling berbalah dengan mengaitkan gerakan ‘tebuk atap’.

Bagi penyokong kerajaan, mereka secara sinis antara lain berkata, Hamzah kekal Ketua Pembangkang serta bertanyakan sama ada jadi atau tidak Langkah Dubai.

“Nasi Dubai ke tu?

“Tak jauh (dari Istana Negara) dah.

“Langkah kemaruk Tebuk Atap ke YB?

“Bukan senang nak dapat makan kat dapur Istana Negara ni,” demikian antara usikan warga maya.

Hamzah Zainudin

Dalam masa sama, ‘walaun’ PN pula menganggap penyokong Kerajaan Perpaduan sudah ‘goyang’ selain memberi pujian dan galakan untuk PN menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di mana ni? Elok tak payah beritahu nama tempat, sebab geng sana nati bubuh nama
Langkah Kolumpo pula,” kata seorang pengguna Facebook.

Akhir tahun lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM, Datuk Ismail Yusop, mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin PN termasuk beberapa wakil parti kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ismail mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.

Menurutnya lagi, tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang turut terbabit dan dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kemudiannya mendakwa PN sudah mempunyai jumlah akaun bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Namun, pada 6 Januari lalu, Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.

Kenyataan tersebut didakwa dikeluarkan Hamzah seperti ditularkan di media sosial, juga adalah palsu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksinya pada 9 Januari yakin bahawa Langkah Dubai tidak akan berjaya dilakukan.

Tegasnya, Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan 150 Ahli Parlimen ketika ini.

Selain itu, jelasnya, Akta Lompat Parti yang sudah berkuat kuasa tidak memungkinkan gerakan menjatuhkan Kerajaan MADANI itu berlaku.

Â