Pembangkang tak mahu Kerajaan Perpaduan berjaya bawa pelaburan

“Ada juga kemungkinan mereka khuatir Kerajaan Perpaduan berjaya bawa pelaburan,” kata Khalid Abdul Samad merujuk kepada pihak pembangkang yang dikatakan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Pengarah Komunikasi AMANAH itu menyifatkan, pembangkang bukan tidak faham bahawa tindakan mereka akan menjejaskan status pelaburan dan perancangan kerajaan untuk membawa penambahbaikan.

“Ada juga kemungkinan… saya rasa kemungkinan yang amat mungkin.. memang itu yang dikehendaki iaitu mereka khuatir Kerajaan Perpaduan ini berjaya.

“Berjaya daripada segi membawa pelaburan, mendatangkan pembaharuan, melakukan penambahbaikan kepada sistem pendidikan, kesihatan dan juga sistem kebajikan.

“Mereka tidak mahu Kerajaan Perpaduan ini berjaya dan satu cara untuk menggagalkannya adalah mewujudkan suasana ketidakstabilan.

“Maka, pelabur tidak masuk dan pegawai-pegawai kerajaan sendiri pun tidak dapat fokus,” katanya dalam rancangan temu bual secara atas talian bertajuk ‘Takde Skrip: Langkah Ke Laut…’

Susulan wujudnya kontroversi melibatkan pelbagai ‘langkah’ sebelum ini, Khalid menyifatkan tindakan itu adalah sabotaj atau boleh juga dipanggil sebagai pengkhianatan.

Pada 3 Januari lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata, beliau yakin Langkah Dubai akan menjadi kenyataan namun tidak boleh mendedahkan butirannya.

Dakwanya, pemimpin Kerajaan Perpaduan pada ketika ini ibarat takut pada bayang-bayang sendiri kerana tahu akan kehilangan kuasa pemerintahan.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) berkata, kejatuhan kerajaan akan berlaku menerusi peralihan sokongan ahli Parlimen dan tindakan itu tidak menyalahi Perlembagaan mahupun amalan demokrasi.