‘Pembangkang tak pandai beri cadangan menambah baik’
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad menganggap pembangkang tidak tahu melaksanakan tugas mereka untuk menjadi pembangkang yang membina.
Katanya sebagai contoh, pembangkang sepatutnya mengkaji sesuatu program yang dijalankan pihak kerajan.
“Contohnya, okey program ini bagus… tetapi kita kena ubah sikit kerana perubahan ini akan lebih berkesan…
“Maknanya, mereka memainkan peranan menyeluruh yang memberikan cadangan-cadangan menambah baik program kerajaan dan untuk memberi manfaat kepada rakyat.
“Dia (pembangkang) tak pandai nak buat begitu. Dia nampak apa yang dibentangkan oleh kerajaan, (lepas itu cakap) kita nak tukar kerajaan, itu saja yang dia boleh buat,” bidas Khalid terhadap gabungan berkenaan.
Khalid menempelak parti pembangkang itu dalam rancangan temu bual secara atas talian yang bertajuk ‘Takde Skrip: Langkah Ke Laut…’.
Dalam rancangan sama, bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu turut memetik pepatah arab yang sering dibaca oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Pepatah itu membawa makna karavan itu terus berjalan walaupun anjing menyalak. Saya nak supaya kerajaan kita ini biarlah orang nak buat bising macam mana sekali pun, kita pegang kepada pepatah Arab itu.
“Kafilah (rombongan) itu terus berjalan.. kita buat kerja kita dan jalankan program seperti mana yang sudah dirancang.
“Jangan sehingga kita terpesong, buang masa dengan segala nak layan salakan-salakan itu.. kita terus berjalan.. Insya-Allah rakyat boleh menilai,” ujar beliau lagi.