Pemuda AMANAH berpotensi menonjol dalam tiga tahun
Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) berpotensi menonjol dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan sebilangan besar penjawat politik daripada parti itu, kini berada di setiap peringkat kementerian dan kerajaan negeri.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al Rashid Haron berkata, keadaan hari ini yang menyaksikan barisan pemuda parti itu berada dalam pentadbiran kerajaan, adalah sesuatu yang positif.
“Keadaan hari ini jauh berbeza berbanding tahun 2019 dan Pemuda AMANAH semuanya juga sudah berada dalam posisi kerajaan.
“Ia akan menjadi satu platform agak baik untuk kita menonjol pada masa akan datang, Insya Allah kami bukan lagi parti kecil dalam Pakatan Harapan (PH).
“Kita ada Ketua Pemuda Senator Hasbie Muda, Timbalan Ketua Pemuda iaitu saya sendiri, Naib Pemuda dan Ahli Jawatankuasa (AJK) yang menang tempoh hari, sebahagiannya telah berada dalam pentadbiran kerajaan di pelbagai peringkat seperti di pejabat kementerian dan di pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Dengan adanya posisi (di pelbagai peringkat), ia sedikit sebanyak membantu kita untuk lebih menonjol kerana dengan adanya jawatan dalam kerajaan, sebenarnya ia juga membantu kita untuk bersuara,” kata Danial yang juga ADUN Batu Tiga dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily.
Perlu siap sedia setiap peringkat
Beliau diminta mengulas mengenai ‘cakap-cakap’ kononnya Pemuda AMANAH tidak nampak atau tidak menonjol dalam naratif rakyat Malaysia hari ini.
Sesi temu bual itu dijalankan di pejabatnya di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga, di Seksyen 16, Shah Alam, baru-baru ini.
Mengulas mengenai cabaran dihadapi pasukan pemuda era baharu pula, beliau berkata ia adalah daripada segi kesiapsiagaan apabila diberi tanggungjawab untuk memimpin kerajaan pada satu hari nanti.
“Tidak kira apa peringkat, sama ada kampung, negeri atau pun majlis perbandaran, kita kena sentiasa bersedia.
“Kalau kita diberikan tanggungjawab sebagai ahli majlis, paling penting adalah pengetahuan kita tentang fungsi kerajaan itu sendiri.
“Jika kita tidak ada pengetahuan dan sampai masa kita diberikan tanggungjawab, saya bimbang kita akan mengambil masa untuk belajar. Benda itu betul, tetapi saya nak cuba memendekkan proses tersebut,” ujarnya lagi.
Â