Rasuah KFA lebih RM6 juta: Sanusi beri keterangan hampir 3 jam
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selesai memberi keterangan hampir tiga jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya berhubung dakwaan rasuah membabitkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Kenderaan jenis Mercedes berwarna perak yang membawa Presiden KFA itu dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada jam 11.37 pagi tadi.
Sebelum itu, kenderaan sama dilihat memasuki kompleks suruhanjaya itu pada jam 8.30 pagi.
Semalam, SPRM dilapor akan memanggil Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) bagi membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM6 juta membabitkan KFA.
Memetik BH, siasatan SPRM itu susulan laporan diterima daripada kontraktor yang dijanjikan mendapat projek di Kedah jika menyalurkan dana kepada persatuan bola sepak berkenaan tetapi tidak memperolehnya selepas berbuat demikian.
Namun, Sanusi sebelum ini mendakwa beliau adalah sasaran sebenar pihak tertentu di sebalik plot dakwaan rasuah dalam KFA, sedangkan dakwanya ada pihak lain sepatutnya dikenakan tindakan dan bukan empat individu ditahan SPRM.
Sanusi turut mendakwa, penahanan empat individu termasuk ketua pegawai eksekutif persatuan bola sepak itu sebelum ini hanya sebagai ‘aksesori’.
Dakwa pemimpin Pas itu lagi, penahanan tersebut untuk mengada-adakan kes bagi menganiaya mereka, seterusnya membina naratif buruk terhadap Kerajaan Kedah di bawah pentadbirannya.