‘SPRM bebas siasat dan tangkap sesiapa yang rasuah’

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bebas menjalankan siasatan dan tangkapan ke atas sesiapa yang mengamalkan rasuah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama beliau turut menegaskan bahawa SPRM tidak menjalankan tugas secara terpilih sebaliknya hanya menjalankan amanah.

“Itu urusan SPRM, saya tidak mahu orang anggap ini perkara yang kecil, baru atau lama memang tak boleh.

“Orang kalau dia tak salah, tak perlu rasa bimbang kerana siasatan dibuat dengan teliti dan pendakwaan akan dikemukakan sekiranya ada bukti yang kukuh.

“Tetapi janganlah sesetengah orang anggap ini soal pihak tertentu dan sebagainya, kerana ini akan beri gambaran seolah-olah ada orang atau jerung-jerung besar terlepas.

“Saya tidak mahu mula memerangi rasuah dengan menekan yang di bawah,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dekat Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya samada akan ada jerung-jerung besar yang akan ditahan oleh agensi anti-rasuah tersebut.

SPRM ketika ini sedang menyiasat keluarga bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut disoal siasat berkenaan peruntukan RM700 juta yang digunakan untuk tujuan promosi pentadbiran terdahulu.