Zahid Hamidi doakan kejayaan Harimau Malaya dalam Piala Asia 2023

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendoakan kejayaan skuad kebangsaan Harimau Malaya yang akan berentap dalam kejohanan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bermula 16 Januari ini.

Katanya, beliau bersama rakyat Malaysia sentiasa mendoakan kemenangan buat skuad bimbingan Kim Pan-Gon itu.

“Sematkan azam dan tingkatkan tekad demi mengharumkan nama negara! Semoga anda berjaya menjulang kemenangan buat negara dan berjuanglah #DemiMalaysia!.

“Insya-Allah, saya yakin penglibatan dalam acara besar seperti ini menjadi asbab untuk industri bola sepak negara terus berkembang dan melahirkan lebih ramai bakat berkaliber,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas kelayakan skuad kebangsaaan melayakkan diri secara merit ke Piala Asia.

Beliau menyifatkan, penantian yang ditunggu selama 42 tahun, ditambahkan dengan usaha yang dibanting tanpa jerih, akhirnya membuahkan hasil yang cemerlang buat negara.

Untuk rekod, Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan pada kejohanan di Doha, Qatar itu.

Ini adalah penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007.

Malaysia tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam Piala Asia, pada tiga edisi sebelum ini.

Â