Isu air UMS selesai selepas menteri turun, pelajar gembira dah boleh mandi

Pelajar-pelajar di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) meluahkan rasa gembira selepas isu air yang dilaporkan meruncing sebelum ini mula menunjukkan pemulihan sejak beberapa hari lalu.

Perkara itu diakui pelajar yang tinggal di ketiga-tiga kolej kediaman UMS berdasarkan situasi semasa bekalan air di kampus yang lebih baik berbanding minggu lalu dan sebelumnya.

Memetik Berita Harian, penghuni Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Rafae, Jacyntha Sintar, 22, berkata aliran air kini kembali normal dan laju ditambah selepas kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi ke kampus mereka baru-baru ini.

Isu air

“Selepas majlis konvokesyen pada Disember lalu, air mati (terputus), berminggu-minggu tiada masuk di rumah, jadi pelajar tersiksa sebab tiada bekalan air.

“Kalau ada pun di tangki luar blok dan ada juga yang mandi di kafe, tapi ada masa kafe pun tiada air, jadi memang susah.

“Ada yang beli air botol untuk mandi sebab kecemasan langsung tiada air.

“Baru-baru ini bekalan kembali normal dan laju, kami boleh mandi dan urusan jadi lebih mudah selepas menteri datang ke kampus,” katanya seperti dilapor portal itu.

Sebelum ini lawatan sulung Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir ke UMS pada 8 Januari lalu disambut dengan nyanyian dari mahasiswa yang memohon maaf kerana belum mandi akibat gangguan bekalan air.

Mereka dilihat memegang plakad, antaranya “madani untuk siapa?” dan “kembalikan hak kami” bagi menzahirkan masalah air di kampus.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tersinggung dengan laporan mengenai pelajar di universiti berkenaan yang mengadu tidak mandi disebabkan ketiadaan bekalan air.

Tahun lalu, Anwar mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada UMS bagi menyelesaikan masalah air di kampus.

Untuk itu beliau menggesa agar laporan penelitian dikemukakan kepadanya berkaitan peruntukan segera RM3 juta yang diberikan kerajaan tahun lalu.

Sementara itu memetik BH lagi, Nurafidah Mudding, 22, yang menghuni Kolej Kediaman Tun Fuad, berkata ketiadaan bekalan air amat menyukarkan urusan harian.

“Paip di semua blok kering, kalau ada pun di tangki bawah dan kami yang tinggal di aras tinggi terpaksa ke bawah mengangkut air.

“Kadang-kadang tangki bawah pun tiada air. Syukurlah sekarang keadaan sudah lebih baik, siang malam ada air dan kehidupan kami jadi lebih mudah,” katanya.

BACA JUGA Dusuki masih ‘hilangkan diri’, tak bayar lagi hutang RM23,000