Kegagalan pendidikan, cabaran untuk Malaysia Madani?
Rata-rata pembaca pasti mengetahui perihal kes khianat api di rumah Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham yang sedang disiasat oleh pihak polis.
Harapan Daily turut membuat liputan kes tersebut.
Dalam sidang akhbar yang dibuat oleh Ngeh, beliau yakin bahawa ada pihak bertindak kerana cadangan berkaitan Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah (JKMBTMS).
Beliau turut yakin ada pihak yang mengapi-apikan isu tersebut sehingga pelaku menyebabkan kejadian tersebut berlaku.
Pelaku atau suspek membuat perkara tersebut kerana emosi terganggu dan dipengaruhi oleh hasutan oleh pihak ketiga.
Adakah ini tanda-tanda kegagalan sistem pendidikan negara?
Mungkin ada pihak yang menafikannya berdasarkan kepada jumlah siswazah yang keluar dari universiti, baik awam mahupun swasta saban tahun.
Satu perkara yang umum sering terlepas pandang ialah falsafah pendidikan negara.
Falsafah pendidikan negara mahu membentuk insan menyeluruh dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Emosi itu perasaan yang dialami oleh seseorang individu yang akan mempengaruhi tindakan dan tutur kata.
Ia juga cerminan diri pelaku.
Emosi boleh dikawal, dan sepatutnya dikawal oleh individu.
Dalam keadaan individu gagal mengawal emosi, tidakkah ini cerminan kegagalan sistem pendidikan negara.
Di manakah fokus pendidikan sekiranya ia gagal mengajar individu mengawal emosi mereka?
Berapa ramai individu di luar sana yang seringkali gagal mengawal emosi mereka?
Dalam keadaan sedemikian, bagaimanakah kita semua sebagai rakyat berusaha ke arah merealisasikan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim – Malaysia Madani?
Visi yang sarat dengan kaedah mengangkat Malaysia ke tahap lain mempunyai enam nilai teras utama – kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan (MADANI).
Tanpa JERI, seseorang itu pasti akan tersungkur dalam usaha MADANI.
Â