Kempen Subuh Macam Jumaat terus dapat sambutan ramai

Kempen Subuh Macam Jumaat yang digerakkan selebriti yang juga pempenaruh, Aliff Satar berjaya mendapat sambutan ramai sehingga kempen tersebut tersebar sehingga ke seluruh negara.

Masjid-masjid semakin meriah dengan kehadiran anak muda, warga pertengahan dan juga anak-anak kecil.

Terbaru, kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dikelola Aliff pada hari pertama 2024 turut berjaya mendapat sambutan hangat apabila disertai kira-kira 3,000 jemaah.

Di media sosial, semakin ramai menyebarkan seruan untuk ke masjid bagi menyahut cabaran Subuh Macam Jumaat.

Malah seluruh masjid dalam negara turut mengalami peningkatan jemaah.

Impak dan pengaruh Aliff Satar juga tidak terhenti di sini apabila pelakon itu berjaya membangkitkan semangat penduduk Islam di Singapura untuk turut mengimarahkan masjid secara konsisten.

Berikutan penerimaan dan sambutan ramai ini, Facebook Masjid Al-I’tisam berkongsi panduan untuk orang ramai agar dapat bangun dan menunaikan solat Subuh di masjid. 

Pertama pastikan tidur awal. Sifirnya mudah, tidur awal maka dapat bangun awal. 

“Kedua pastikan kita selesaikan urusan-urusan peribadi sebelum tidur seperti mandi, gosok gigi, tinggalkan telefon bimbit sementara supaya kita lebih tenang, selesa dan dapat tidur yang berkualiti. 

“Ketiga minum air masak sebelum tidur. Sebabnya awal pagi esok pasti rasa nak terbuang air, jadi mudah terus kita bangun ke bilik air.

“Terakhir kena berdoa pada Allah agar kita diberikan kemudahan dan keringanan untuk bangun awal untuk solat berjemaah di masjid. 

“insya-Allah sekiranya petua ini diamalkan, kita dapat bangun awal untuk menunaikan solat subuh berjemaah,” kongsi laman itu.

Pentadbir laman akaun Masjid itu juga berharap agar masjid-masjid di seluruh negara dapat dipenuhkan pada setiap waktu solat.

“Pempengaruh seperti Aliff Satar dan lain-lain boleh membantu pihak masjid untuk meramaikan lagi jemaah masjid terutama pada waktu subuh untuk menarik orang ramai terutama golongan muda,” katanya.