MyAirline tidak dibenarkan beroperasi sehingga lunaskan gaji, bayar balik penumpang

MYAirline Sdn Bhd (MyAirline) tidak akan dibenarkan beroperasi semula selagi ia tidak melunaskan tunggakan gaji kakitangan serta membuat bayaran balik kepada penumpang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata demikian sebagai reaksi kepada permohonan syarikat itu untuk mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) untuk beroperasi semula.

Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan syarikat itu hari ini bagi mendengar sendiri cadangan mereka dan status terkini syarikat itu.

“Kita akan bertemu dengan mereka hari ini. Apa sahaja permohonan yang mereka ingin buat, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi jika mereka mahu memulakan semula operasi.

“Pertama, mereka perlu berusaha memastikan ‘refund’ dibuat, kedua, apa sahaja (gaji) tertunggak terhadap kakitangan perlu dibayar dan jika mereka boleh memenuhi dua syarat ini, baru kita boleh berbincang, jika tidak, ‘no way’,” katanya

Loke menyatakan demikian susulan laporan berita bahawa MyAirline memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Timur Tengah pada akhir Disember 2023.

Sumber berkata, menerusi perkembangan baharu itu, MyAirline boleh melaksanakan usaha untuk menyambung semula operasi menjelang pertengahan tahun ini.

Loke turut berkata, sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi perlu mengikut prosedur ditetapkan termasuk syarat 51 peratus pegangan saham syarikat Malaysia.

Palam Alaska Airline & Boeing 737

Mengulas isu berkaitan penemuan palam pintu dipercayai miliki pesawat Alaska Airline yang tertera perkataan ‘buatan Malaysia’, Loke berkata, beliau tidak boleh memberi ulasan mengenai perkara itu kerana tidak menerima sebarang maklumat lanjut.

“Namun, jika terdapat pemohonan rasmi daripada syarikat penerbangan berkenaan, saya akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menelitinya.

“Kita belum terima apa-apa maklumat lagi, saya tak boleh komen kerana ia bukan di bawah kawal selia kita dan saya tak boleh bagi komen secara umum.

“Malah, kita pun tidak tahu adakah ia sahih atau tidak kerana hanya mengikut laporan media daripada seorang pemerhati sahaja,” katanya.

Berhubung pemeriksaan terhadap sistem kawalan kemudi Boeing 737-8 (MAX) untuk tujuan mengesan perkakasan yang longgar, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Norazman Mahmud berkata, perkara itu sudah dilaksanakan.

“Untuk Malaysia Airlines dan Batik Airlines, semua sudah diperiksa, tidak ada sebarang penemuan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan syarikat pengendali penerbangan berpangkalan di Malaysia diarah memeriksa sistem kawalan kemudi Boeing 737-8 (MAX) untuk tujuan mengesan perkakasan yang longgar.