Pembangunan Kampung Baru: Libat urus dengan pemilik, waris akan diteruskan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa meneruskan sesi libat urus dengan 12 peratus pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang masih belum bersetuju dengan pembangunan semula kawasan penempatan masyarakat Melayu di kawasan tersebut.

Beliau turut mengakui kekangan ke atas kawasan tersebut yang merupakan kawasan tanah rizab Melayu.

“Kawasan Kampung Baru ini merupakan penempatan orang Melayu di tengah pusat bandar Kuala Lumpur dan dengan sensitiviti ini, ia perlu dibangunkan selari dengan kawasan sekelilingnya.

“Cuma ada kekangan tertentu yang melibatkan kawasan rizab Melayu, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kawasan itu dan setakat maklumat yang diterima daripada agensi yang bertanggungjawab, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), sudah 88 peratus pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru yang sudah bersetuju untuk membangunkan kawasan itu,” katanya, lapor Wilayahku.

Beliau memberi jaminan untuk berjumpa kesemua pemilik dan pewaris yang tidak bersetuju agar masalah berkaitan Kampung Baru boleh diselesaikan. Perjumpaan libat urus townhall akan diadakan seawal bulan Februari.

“Bagi saya, kawasan-kawasan yang telah diwartakan untuk dibangunkan itu ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan segera dan yang itu kita kena tengok dan beri keutamaan mengenainya.

“Jika kita hendak membangunkan kesemua sekali gus, kita perlu lihat banyak faktor, jadi mana yang telah bersetuju dan ada di dalam perancangan, saya lihat
ia akan diberi keutamaan di mana perlu menyelesaikan isu-isu berbangkit sebelum memudahkan pembangunan berkenaan. Saya juga akan meneliti secara langsung pembangunan ini mengikut parcel-parcel atau mana yang lebih baik,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan terbaik adalah dengan memulakan pembangunan di kawasan tanah di mana pemiliknya telahpun bersetuju terlebih dahulu.

Tempoh masa pembangunan Kampung Baru pula akan melibatkan beberapa faktor.

“Berkenaan dengan tempoh masa pula, ia bergantung kepada kekuatan ekonomi dan birokrasi tertentu yang perlu dilalui sebelum ia diberi kebenaran merancang pembangunan namun sebelum kesemua proses tersebut dilalui, ia hanya boleh didapati dengan kestabilan politik,” katanya.

7,242 pemilik tanah berdaftar

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Dr Amir Raslan Abu Bakar mengesahkan terdapat seramai 7,242 pemilik tanah berdaftar di Kampung Baru.

Amir Raslan turut berkata bahawa 12 peratus pemilik yang belum memberi persetujuan berdepan kesukaran kerana isu pemilikan tanah berganda.

Dari jumlah 12 peratus, 590 pemilik tanah telah meninggal dunia.

Ada yang ingin mengekalkan aset tanah sebagai harta warisan.

“Selain itu, ada dalam kalangan pemilik atau pewaris bersikap tunggu dan lihat serta menantikan tawaran terbaik yang boleh diterima mereka,” katanya.

Pelaksanaan pembangunan Kampung Baru dibuat berdasarkan Pelan Individu Pembangunan Kampung Baru (PIPKB) dengan tempoh pembangunan sehingga 2040,” tambahnya.

Sekiranya rundingan gagal, Amir Raslan berkata kerajaan mempunyai pilihan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Pendekatan Zaliha disambut baik

Dalam pada itu, beberapa badan bukan kerajaan berkaitan Kampung Baru telah menyambut baik pendekatan yang digunakan oleh Zaliha.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB), Ar Ts Sri Nor Shamsul berkata kesediaan Zaliha untuk menyambung semula perancangan yang tertangguh wajar disokong
semua pihak bagi melihat pembangunan semula itu dilaksanakan.

Beliau mencadangkan agar Zaliha membuat pertemuan tersasar dalam kumpulan kecil dan bukannya sesi townhall.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (MAS), Shamsuri Suradi berkata iltizam politik diperlukan untuk menyelesaikan masalah tanah Kampung Baru yang bermula sejak lima dekad lalu.