Tiada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri
Tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikemukakan setakat ini, kata speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.
“Kita tidak terima apa-apa usul berkaitan dan sesiapa saja ahli parlimen boleh mengemukakan apa saja usul itu sekarang walaupun mesyuarat belum bermula.
“Namun terpulang kepada keputusan speaker untuk menolak atau menerimanya, yang mana keputusan akan diumumkan semasa persidangan Dewan Rakyat nanti,” dia dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian.
Usul itu jika dikemukakan boleh dimasukkan dalam senarai usul, walaupun mesyuarat pertama penggal ketiga akan bermula bulan depan, katanya.
Beliau berkata demikian sebagai balasan kepada keraguan pembangkang bahawa usul tersebut mungkin tidak akan diterima.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) semalam mendakwa bahawa banyak usul pembangkang telah ditolak oleh Johari.
Dalam pada itu, Johari turut menasihatkan pembangkang agar belajar dan mengkaji peraturan mesyuarat memandangkan keputusan dibuat berdasarkan peraturan Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa semalam bahawa pembangkang tiada angka yang cukup untuk undi tidak percaya.
Dalam perkembangan berkaitan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pula berkata bahawa Anwar telah memberi pembangkang peluang sebanyak dua kali untuk membentangkan usul tidak percaya.
Â