Elak duti kereta mewah RM33 juta: Enam ahli sindiket didakwa 15 Januari ini

Enam ahli sindiket yang terlibat dalam pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah hingga mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga lebih RM33 juta akan didakwa pada 15 dan 16 Januari ini.

Kesemua suspek yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu merupakan pengusaha dan ‘runner’ perkhidmatan gudang penyimpanan kereta mewah di Pulau Langkawi.

Mereka juga pernah ditahan SPRM menerusi satu operasi khas satu‘Op Eagle’ pada Julai 2023.

Keenam-enam suspek akan menghadapi lebih 21 pertuduhan di bawah Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Operasi dijalankan SPRM susulan isu terkurang kutipan duti kastam sepanjang 2012 hingga 2021 di Pulau Langkawi yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022).

LKAN pada masa itu menyebut bahawa terdapat unsur ketirisan lebih RM72 juta dalam pengutipan duti kastam melibatkan lebih 100 kenderaan mewah pelbagai jenama antaranya seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren dan Rolls Royce.

Susulan LKAN 2022 itu, SPRM menjalankan Op Eagle sebelum mengesan terdapat sindiket yang bersubahat dengan pemilik kereta mewah yang mahukan pengecualian dan pengurangan duti kastam walaupun sebenarnya mereka tidak layak.

Sindiket tersebut menggunakan surat akuan sumpah atas nama pemilik kenderaan yang palsu sebagai tulen kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Dalam operasi itu juga, SPRM turut mengesan unsur ketirisan dan salah laku rasuah di Pusat Bebas Cukai (PBC) seterusnya menjejak semula 100 kereta mewah yang disyaki mengelak daripada dikenakan duti kastam.