Man on The Run: Permohonan henti tayangan perlu diteliti dahulu
Susulan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya kerajaan mengarahkan Netflix melarang tayangan dokumentari Man On The Run yang berkaitan 1MDB, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan akan bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi meneliti isu tersebut.
Lapor Bernama, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti beberapa aspek perundangan sebelum sebarang keputusan mengenainya dibuat.
“Saya dan juga pihak SKMM baru menerima surat tersebut. Ada beberapa pandangan awal yang telah disampaikan tapi saya rasa perlu diberikan beberapa pertimbangan, kita kena pastikan ia berlandaskan undang-undang.
“Kita kena teliti kerana perkara ini ditimbulkan dalam mahkamah. Jadi ada beberapa perkara yang perlu penelitian terutamanya aspek perundangan,” katanya selepas merasmikan pameran seni seramik Raaqoo Life Magnified-The Main Show oleh Adil Ghani hari ini.
Baru-baru ini, peguam Najib memohon supaya kerajaan mengarahkan perkhidmatan aplikasi penstriman itu supaya menurunkan serta melarang tayangan dokumentari yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tetuan Shafee & Co mendakwa dokumentari itu, yang ditulis serta diarahkan oleh Cassius Michael Kim, adalah subjudis dan memudaratkan pembelaan Najib dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan.