Selepas Bezza ‘bergula’, muncul kes Honda rosak selepas 2 minggu guna

Selepas kes pemilik Bezza yang berjaya memperoleh kemenangan bagi menuntut pampasan sewajarnya terhadap Perodua, timbul pula kes baru membabitkan Honda HR-V 1.5 yang bermasalah selepas dihantar ke pusat servis.

Menerusi perkongsian individu yang menggunakan nama Noriya Mamat, dia meluahkan kedukaannya apabila kereta yang baru dimilikinya rosak selepas dua minggu digunakan.

Noriya terpanggil untuk berkongsi mengenai masalah yang dihadapinya susulan masalah kerosakan kenderaan yang dihadapi Nagakanni Subramaniam selepas Perodua Bezza yang dibelinya rosak dalam tempoh lapan jam selepas diserahkan.

Bezza

Menurut perkongsian Noriya di Facebook, kereta yang diterimanya pada 26 Ogos 2023 mula mengalami masalah selepas dihantar ke Pusat Servis Gong Badak, Terengganu pada 2 September tahun lalu.

Katanya, situasi dialami olehnya lebih parah apabila Pusat Servis Honda memberikan alasan bahawa mereka tidak dapat mengesan punca masalah kereta.

Selepas dua hari dihantar ke pusat servis, kereta alami beberapa kerosakan iaitu lampu depan tidak boleh dilaras, lampu penunjuk pada papan pemuka berkelip-kelip, selain lampu kecemasan juga menyala.

“Kereta dihantar ke pusat servis semula dan seminggu selepas itu kereta boleh diambil. Malangnya, masalah yang sama berulang. Kereta sekali lagi dihantar ke pusat servis. Saya terpaksa berulang-alik ke pusat servis dalam keadaan saya sarat mengandung pada ketika itu.

“Oktober 2023 kereta masih belum pulih. Alasan pusat servis: Tidak dapat mengesan punca masalah kereta. Persoalan saya

“Berapa lama lagi saya perlu menunggu? Setiap bulan saya perlu membayar RM1,500 untuk kereta yang tidak saya gunakan. 

“Setelah 4 bulan kereta berada di pusat servis, kali ini mereka maklumkan bahawa kereta akan dibawa ke Honda HQ Kuala Lumpur untuk dipantau lebih lanjut dan tempoh sebulan untuk mencari penyelesaian.

“Mengapa pihak Honda mengambil masa yang lama untuk kes seperti ini. Di mana khidmat lepas jualan yang terbaik yang dijanjikan Honda?,” soalnya.

Sementara itu, seorang jurucakap Honda Malaysia berkata, pengeluar kereta itu memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu kerosakan berterusan Honda HR-V 1.5 milik Noriya itu secara baik dan pantas.

“Kami sudah berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan berkenaan dan sedang melaksanakan siasatan mendalam dan menyeluruh berhubung perkara ini.

“Keutamaan kami ialah menyelesaikan perkara isu ini secara baik dan secepat mungkin,” katanya.

BACA JUGA Shamsul Iskandar tuntut RM5 juta dari Badrul Hisham ekoran fitnah Facebook