Abang Jo hairan mengapa GPS dikait dengan Langkah Dubai
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengulangi pendirian untuk menyokong kerajaan sedia ada bagi mengukuhkan kestabilan politik Malaysia.
Penegasan beliau itu disuarakan dalam Sesi Townhall 7 Tahun Bersama Premier Sarawak di Hikmah Exchange di Kuching, malam tadi.
Abang Jo menyuarakan sokongannya untuk mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh penggal Parlimen.
Menurutnya, adalah penting untuk mengekalkan kestabilan dalam politik negara demi pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kalau Anwar, Perdana Menteri sudah di sana (menerajui Kerajaan Perpaduan), biarkanlah sampai habis.
“Kerana ketentuan kerajaan mengikut amalan demokrasi ialah apabila pilihan raya diadakan, apa keputusannya biarlah sampai habis,” tegasnya.
Abang Johari berkata demikian dalam sesi soal jawab yang dikendalikan oleh tiga moderator.
Mereka ialah Sayed Munawar Sayed Mustar, Profesor Datuk Dr Siva Pandian dan Mona Abdul Manap.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta semua pemimpin kanan Kabinet Sarawak.
Dalam masa sama, beliau masih hairan mengapa Gabungan Parti Sarawak (GPS) dikaitkan dengan Langkah Dubai sedangkan mereka langsung tidak mengetahuinya.
“Memang ada pemimpin GPS iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Timbalan Premier Sarawak) berada di Dubai kerana bercuti di sana.
“Dia tidak berjumpa sesiapa (seperti yang didakwa) di sana. Jadi, macam manalah GPS boleh dikaitkan, termasuk mendakwa saya akan dipilih sebagai Perdana Menteri?” katanya.
Beliau menambah, GPS tahu kedudukan mereka dalam Parlimen yang hanya memiliki 23 ahli dan tidak mungkin beliau bertahan lama jika dipilih menerajui kerajaan yang dibentuk hasil Langkah Dubai itu.
“Dengan jumlah Ahli Parlimen yang hanya 23 orang, pasti akan ada tekanan kepada saya pula nanti,” kata Abang Jo lagi.
Â