Akibat kena tebuk atap, suami isteri berputih mata RM9,500

Akibat tindakan penjenayah tebuk atap di Ampang Jaya, sepasang suami isteri kerugian RM9,500 termasuk barang kemas, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Azam Ismail, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang suspek lelaki tidak dikenali berada di atas bumbung rumah mangsa.

Suspek, jelasnya, dipercayai memecah masuk melalui bumbung dan memecahkan siling untuk menceroboh rumah.

“Beberapa barangan berharga milik mangsa didapati hilang antaranya barangan kemas bernilai RM7,000 dan wang tunai RM2,500 dengan kerugian dianggar RM9,500,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa keluar meninggalkan kediaman mereka kira-kira jam 10 pagi untuk berniaga di sekitar Jalan Ampang.

“Apabila pulang kira-kira jam 3 petang, mangsa memasuki rumah dan mendapati ruang tamu dalam keadaan berselerak manakala pintu bilik utama terkunci dari dalam.

“Mangsa menggunakan kunci pendua untuk membuka bilik berkenaan sebelum mendapati barangan berselerak manakala siling terbuka,” jelasnya.

Sehubungan itu, Azam berkata, pihaknya memohon orang ramai yang mempunyai maklumat kes untuk menghubungi balai berdekatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.