Aminuddin dahului 473 penerima darjah kebesaran

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mendahului senarai 473 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Hari Keputeraan ke-76, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu dianugerahkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula penerima tunggal Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS), yang membawa gelaran Datuk Seri.

Lima individu lain menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Dr Faudzinaim Badaruddin; Ketua Hakim Syarie, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Seremban, Datin Rohani Ismail.

Seramai 22 individu pula menerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Mereka yang menerima DBNS ialah Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Abd Khalid Othman; Yang Dipertua, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Sembilan, Adnan Ahmad; Timbalan Naib Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Adnan Mohamed Yusoff dan Presiden, Hospice Negeri Sembilan, Dr Anthony Gilbert a/l Maria Soosai.

Selain itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Badius Zaman Ahmad; Pengarah Urusan Samsung SDI Energy Malaysia, Jung Woochang; Pengarah Syarikat Maltor Enterprise, Lee Chee Kung; Pengarah Urusan Azza Mewah Development Sdn Bhd, Lee Quay Kuan; Ketua Perkhidmatan Nefrologi, Dr Lily Mushahar dan Pengarah Urusan Hytech Engineering Industries Sdn Bhd, Liong Yen Lam.

Turut menerima DBNS, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Mary Josephine Prittam Singh; Panglima Briged Pertama, Brigedier Jeneral Mohamad Noorlizam Shamsuddin; Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohammad Kassim; ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali dan Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Muhamad Zaki Md Sabri.

Asisten Ketua Staf Logistik Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral TS Muhammad Shafiq Poh Abdullah; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dr Roslan Hussin; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Rozman Mohamad serta ADUN Johol, Saiful Yazan Sulaiman.

Selain itu, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Sazali Harun; Ketua Pegawai Eksekutif Perfect Hexagon Limited, Sim Tze Jye dan Pakar Bedah Pusat Rawatan Mawar, Dr Wong Shiak Sun.

Tuanku Muhriz turut mengurniakan Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) kepada 14 individu dan pingat Darjah Pekerti Terpilih (DPT) kepada 22 penerima.

Selain itu, baginda juga mengurniakan Darjah Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) kepada 62 penerima, Darjah Setiawan Tuanku Muhriz (STM/7), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC/112), Pingat Jasa Kebaktian (PJK/194), Bentara Tuanku Muhriz (BTM/23) dan Pingat Khidmat Lama (PKL) kepada 10 penerima.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan bagi sesi pertama akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti Kuala Pilah hari ini.

Â